Thursday 3 May 2012

sosialisasi

1.1       PENGENALAN

Sosialisasi adalah satu konsep umum yang boleh diertikan sebagai sebuah proses di mana kita belajar melalui interaksi dengan orang lain, tentang cara berfikir, merasakan, dan bertindak, di mana kesemuanya itu merupakan hal-hal yang sangat penting dalam menghasilkan hubungan sosial yang efektif. Sosialisasi juga merupakan proses pembelajaran berterusan sepanjang hayat. Disamping itu, fungsi sosialisasi adalah mengalihkan segala macam maklumat yang ada dalam masyarakat tersebut kepada anggota-anggota barunya agar mereka dapat berkomunikasi dalam institusi sosial dengan baik.

Sosialisasi bermula daripada pemindahan norma dan nilai dalam keluarga serta budaya setempat sesuatu masyarakat kepada kanak-kanak. Apa yang dipelajari ketika kanak-kanak selalunya akan menjadi pendirian atau membentuk konsep diri pada individu. Apabila seseorang itu bertambah dewasa, ia akan mempelajari lebih banyak perkara hasil interaksi dengan pihak-pihak lain. Faktor penentu sosialisai disebut sebagai agen sosialisasi. Oleh itu, keluarga adalah agen sosialisai yang asas. Kemudian diikuti dengan agen-agen sosialisai yang lain seperti rakan, guru, media dan sebagainya. Sosialisasi dapat mengubahsuai tingkah laku awal individu untuk diselaraskan dengan kehendak kehidupan social masyarakat semasa.

Secara umum, teori-teori sosialisasi menumpukan perhatian kepada beberapa perkara seperti melihat perkembangan kognitif, pemerolehan moral dan identiti personal melalui hubungan kekeluargaan, penerapan kategori moral dan nilai, pemerolehan konsep diri dan identiti sosial, dan perkembangan kemahiran sosial yang menjayakan interaksi terutamanya dalam komunikasi linguistik. Dalam sosiologi setiap teori mempunyai gaya penghuraian yang berbeza tentang sosialisasi. Fungsionalisme menekankan bahawa sosialisasi akan menyesuaian individu ke dalam masyarakat. Perspektif konflik pula menyatakan konflik antara kumpulan dan di dalam kumpulan akan menyebabkan sosialisasi dalam banyak keadaan tidak berlaku secara langsung.
Secara khususnya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat sosialisai membawa maksud i) usaha untuk memindahkan hak milik seseorang menjadi milik negara atau proses mendidik seseorang untuk menyesuaikan diri dengan suasana (sikap,nilai, norma) yang dapat diterima dalam masyarakat.


2.1       JENIS SOSIALISASI
           
Sosialisasi adalah proses mempelajari peranan, status dan nilai yang perlu ada pada seseorang dalam institusi sosial. Terdapat tiga jenis sosialisasi iaitu sosialisasi permulaan (primer), sosialisasi penyertaan (sekunder) dan sosialisasi semula (resosialisasi).

Pertama ialah sosialisasi permulaan (primer) yang berlaku pada zaman awal kanak-kanak yang baru mempelajari konsep kendiri, personaliti, kemahiran, kemahiran berfikir dan penaakulan. Di peringkat ini, ibu bapa dan ahli keluarga perlu memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah yang betul kerana pada usia muda ini, anak-anak mudah menerima dan mempelajari. Nilai-nilai positif inilah yang menentukan tingkah laku kanak-kanak tersebut. Pada peringkat ini sangat penting di mana seandainya gagal, kanak-kanak tersebut akan menghadapi kesukaran dalam peringkat seterusnya.

Kedua ialah sosialisasi penyertaan (sekunder) di mana ia berlaku di luar kumpulan keluarga. Keadaan ini berlaku apabila budaya dipindahkan kepada individu oleh agen-agen seperti rakan sebaya, sekolah dan media massa. Apabila seseorang berhadapan dengan sesuatu yang baru dalam keadaan yang baru, dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Individu tersebut perlu memilih peranan yang bersesuaian dengan dirinya dan ia haruslah dapat membuat pertimbangan yang sesuai dengan suasana yang baru. Pelajar bumiputera perlu mendapatkan dan mengikuti perkembangan positif yang dilihat dalam masyarakat kaum Cina, contohnya bijak dalam bidang perniagaan. Setiap individu harus mampu bersaing dengan individu lain.

Pelajar perlu sedar bahawa pendidikan sekolah rendah menjadi asas ke arah kecemerlangan hidup. Persediaan untuk kehidupan dewasa bermula dengan sosialisasi semasa kanak-kanak dan remaja serta akan berlarutan dalam kehidupan semasa kita bersedia untuk memegang tangungjawab baru. Proses ini bermula apabila seorang pelajar sekolah menengah mula memikirkan tentang di universiti manakah dia ingin melanjutkan pengajiannya. Pelajar tersebut akan membaca brosur, melihat iklan dan melawat kampus universiti.

Ketiga ialah sosialisasi semula (resosialisasi) yang merujuk kepada pengagihan konsep kendiri dan cara hidup yang sedia ada kepada yang baru iaitu mengikut perubahan yang dikehendaki oleh masyarakat. Contohnya, pelajar di IPTA perlu mengikis segala sifat negatif supaya tidak ketinggalan. Kejutan budaya akan berlaku di situasi yang baru tetapi pertimbangan yang rasional perlu diambil agar dapat mengekalkan dan meningkatkan prestasi. Budaya yang sedia ada perlu dicorak semula bersesuaian dengan keperluan institusi pendidikan. Oleh itu, pelajar bumiputera perlu menyesuaikan diri dan cuba memperbaiki kekurangan diri supaya prestasi di peringkat IPTA dapat dipertingkatkan.

Contohnya sosialisasi semula seperti apabila kita menjawat jawatan baru atau bertukar jabatan, kita perlu meninggalkan corak tingkah laku kita yang lama dan menerima corak tingkah laku yang baru sebagai sebahagian daripda tranfomasi dalam hidup kita. Proses inilah yang dinamakan resosialisasi. Biasanya ia berlaku dalam kehidupan individu untuk mengubah tingkah laku seperti dalam sekolah pemulihan, penjara dan kumpulan terapi.


2.2       AGEN-AGEN SOSIALISASI

Keluarga merupakan agen sosialisasi yang pertama dalam kehidupan kanak-kanak di peringkat awal dan seterusnya untuk beberapa tahun. Keluarga merupakan agen yang paling penting untuk mensosialisasikan kanak-kanak daripada bayi sehingga menjadi orang dewasa yang berdikari walaupun mereka lahir dari keluarga yang berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Dalam keluarga, kanak-kanak mula mengembangkan kemahiran fizikalnya seperti berjalan, kemahiran mengira dan menamakan benda. Contoh yang dapat diketengahkan di sini ialah kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga kelas atasan akan disosialisasikan dan dibiasakan dengan kemewahan, kuasa dan penerimaan sosial. Ini sangat berbeza dengan kehidupan seorang kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga miskin dimana mereka akan belajar tentang bagaimana hendak hidup dengan pendapatan rendah dan sentiasa mempunyai perasaan tersisih daripada masyarakat. Secara tidak langsung, keluarga juga menyediakan konteks sosial untuk belajar tentang nilai.
Agen sosialisasi merupakan individu, kumpulan atau organisasi yang mempengaruhi tingkah laku dan diri seseorang. Tingkah laku yang dimaksudkan di sini merujuk kepada tingkah laku yang berbentuk ganjaran atau hukuman. Agen sosialisasi yang sangat berpengaruh ialah keluarga, rakan sebaya, sekolah dan media massa. Agen-agen sosialisasi lain yang mempengaruhi tingkah laku seseorang ialah institusi agama, rukun tetangga, organisasi-organisasi swasta dan masyarakat. Secara tidak langsung ia dapat membantu individu untuk membentuk diri ke arah yang lebih cemerlang.





Jadual 2.1: Nilai-nilai yang penting untuk dipelajari oleh anak-anak mereka
Nilai-nilai
Peratus yang percaya bahawa nilai ini penting
Berfikir untuk diri sendiri
53%
Patuh
18%
Bekerja keras
16%
Menolong orang lain
 13%
Disukai ramai
0%
Sumber: The National Opinion Research Center (NORC) (!994)

Sesetengah pengkaji percaya bahawa kedudukan anak dalam keluarga bertindak sebagai agen sosialisasi pasif. Anak sulung dalam keluarga boleh mempengaruhi interaksi dengan saudaranya yang lain dan juga interaksinya dengan ibu bapanya. Interaksi di kalangan ahli keluarga ini menjadi sebahagian daripada pengalaman sosialisasinya.

Contohnya, anak pertama berkemungkinan akan menerima disiplin yang lebih ketat, medapat perhatian yang lebih, menghabiskan persekkolahannya dan mempunyai prestasi yang lebih baik daripada anak-anak yang dilahirkan kemudian. Anak kedua pula, ibu bapanya akan lebih relaks dan kurang bersifat autoritian. Maka anak ini akan menjalin hubungan yang lebih relaks dengan ibu bapanya dan lebih manja berbanding dengan anak pertama. Perlu diingat bahawa ciri-ciri sosial ini datang daripada model keluarga kelas pertengahan. Ciri-ciri urutan anak boleh menjadi rumit deengan adanya faktor-faktor seperti umur dan ajrak umur setiap anak, dan harapan ibu bapa berbeza mengikut jantina, kelas, kumpulan etnik dan struktur keluarga.

Pada sekitar tahun 1950an hingga 1970an, ahli keluarga memainkan peranan yang penting dalam sosialisasi awal kanak-kanak. Datuk, nenek, ibu dan bapa saudara, dan sepupu menjadi sebahagian daripada ahli keluarga terdekat dengan kanak-kanak. Keluarga pada masa itu ramai dan dalam rumah terdapat sebilangan ahli keluarga terdekat dengan kanak-kanak. Keluarga pada masa itu ramai dan dalam rumah terdapat sebilangan ahli keluarga yang besar terdiri daripada sanak saudara.

Pada tahun 1980an hingga sekarang, kanak-kanak masih bergantung pada orang dewasa bukan pada ahli keluarga terdekat bahkan kepada pembantu rumah, guru taska dan tadika. Realitinya ini berlaku kesan daripada ibu yang bekerja di mana lebih ramai kanak-kanak di bawah umur 6 tahun akan menghabiskan lebih masa dengan orang dewasa selain daripada ibu bapa mereka. Bilangan ini ditambah dengan ibu-ibu yang bercerai dan ditinggalkan suami, namun ini tidak bermakna pengaruh ibu bapa semakin berkurangan.

Agen sosialisasi yang kedua ialah rakan sebaya. Orang yang paling penting dalam kehidupan kanak-kanak ialah kawan-kawannya. Ini kerana semakin kanak-kanak membesar, secara tidak langsung hubungan sosial bersama ahli keluarganya menjadi kurang penting. Kanak- kanak bergaul dengan mereka yang sebaya umur, minat dan tahap sosial. Contoh rakan sebaya ialah kawan-kawan, rakan dalam kelas dan anak-anak jiran. Peranan rakan sebaya lebih besar dalam membentuk tingkah laku individu. Walaupun pengaruh ibu bapa merupakan agen sosialisasi yang kuat, ianya akan berkurangan setelah anak-anak mereka memasuki alam persekolahan di mana mereka mula mengenali rakan-rakan baru yang sentiasa menghabiskan masa bersama-sama.

Tanpa disedari, anak-anak telah mempelajari cara berinteraksi dengan rakan yang mempunyai persamaan dari segi usia, pengalaman, peranan pemikiran dan sebagainya. Impaknya, anak-anak dapat mempelajari sesuatu dengan lebih efektif kerana mereka dapat menyesuaikan apa yang dipelajari berdasarkan faktor-faktor tadi.

Jika dibandingkan dengan proses sosialisasi dalam keluarga ianya melibatkan hubungan yang tidak seimbang kerana faktor perbezaan usia, pengalaman dan peranan. Ini dapat dibuktikan apabila mereka lebih menerima dan memberi perhatian kepada setiap perbuatan dan tingkah laku rakan berbanding dengan keluarga mereka. Ini kerana mereka yakin sudah mampu mengawal hidup mereka sendiri. Contohnya, ibu bapa tidak mahu melihat anak-anak mereka berpakaian tidak senonoh tetapi tidak pula pada mereka kerana mereka lebih cenderung untuk mengikut trend rakan mereka berpakaian. Di sini dapat dilihat konflik antara nilai yang diambil dari rakan sebaya dengan nilai yang sudah ada di dalam keluarga mereka. Kita tidak boleh menafikan bahawa betapa besarnya kemampuan rakan sebaya dalam mempengaruhi anak-anak daripada keluarga sendiri. Personaliti dan jati diri anak-anak akan berubah disebabkan pengaruh rakan sebaya walaupun sebelum ini mereka sudah dididik oleh keluarga.

Contoh lain yang boleh dilihat seperti perubahan sikap anak-anak daripada situasi yang mana dulunya mereka suka ibu bapa membelikan sesuatu tetapi apabila remaja mereka lebih cenderung memilih sendiri apa yang diinginkan bersama rakan-rakan. Ini kerana mereka beranggapan mereka mampu untuk berdikari  dan membuat keputusan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada keluarga.
 






                                                                                                                    
Rajah 2.1: Rakan sebaya

Media massa merupakan agen sosialisasi yang ketiga. Media massa ialah komunikasi yang disebarkan kepada penonton tanpa maklumbalas secara langsung atau hubungan interpersonal di antara pengirim dan penerima. Surat khabar, majalah dan tabloid merupakan media cetak yang tergolong dalam media massa. Media elektronik pula seperti  radio, televisyen dan video juga memberi pengaruh yang besar kepada perubahan tingkah laku individu. Televisyen adalah salah satu media massa yang mempunyai peranan penting dalam proses sosialisasi. Ini kerana, televisyen merupakan faktor utama dalam mensosialisasikan anak-anak dalam kalangan keluarga atau masyarakat. Contohnya, berita dia televisyen menumpukan kejadian seperti kejatuhan kapal terbang, skandal seks, pembunuhan dan peristiwa-peristiwa yang sensasi. Drama-drama juga sering menonjolkan kaum wanita sebagai simbol seks. Bilangan cerita-cerita yang berunsurkan keganasan juga merupakan aspek sosial yang sering ditayangkan. Penonton pula terutamanya golongan remaja secara tidak langsung telah didedahkan dengan adegan-adegan seperti merogol, merompak dan ugutan. ini menjadi kebiasaan dalam kehidupan mereka.

Walaupun begitu, bukan semua program mempunyai unsur-unsur keganasan. Ini kerana terdapat program dan iklan di televisyen boleh memperkenalkan penonton kepada budaya yang baru dan tidak biasa dilihat. Contohnya, mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman akan mengetahui gaya hidup manusia di bandar manakala mereka yang tinggal di bandar akan mempelajari cara hidup petani dan nelayan yang tinggal di luar bandar. Penonton juga didedahkan kepada cara hidup masyarakat lain di dunia.

Komputer juga merupakan media massa yang sangat berpengaruh. Ini terbukti apabila ramai orang dewasa menghabiskan banyak masa di kafe siber dan rumah untuk melayari internet serta bermain permainan komputer. Walaupun permainan video dan internet jarang dikaitkan sebagai media massa seperti buku, majalah, dan surat khabar namun ia mudah didapati oleh masyarakat.
Ahli sosiologi mendapati isi permainan video dan maklumat dalam internet dapat mensosialisasikan penggunanya. Mereka bukan saja didedahkan dengan aksi watak dan maklumat tetapi idea dan imej yang diperlihatkan. Ini kerana apa sahaja yang disalurkan dalam permainan video dan maklumat internet  mempunyai mesej yang sangat kuat pengaruhnya. Ternyata mereka yang banyak menonton televisyen, bermain video dan melayari internet berkemungkinan besar akan disosialisasikan oleh apa yang dilihatnya.


           


Rajah 2.2: Media Massa
 





            Rajah 2.3: Sekolah Merupakan Salah Satu Agen Sosialisasi

Seterusnya sekolah merupakan agen sosialisasi yang bertanggungjawab mensosialisasikan kanak-kanak kepada norma dan nilai budaya masyarakat kita. Sekolah merupakan agen sosialisasi yang bertangungjawab untuk mengajar kemahiran kognitif secara normal seperti membaca, menulis, matematik, sejarah, bentuk muka bumi, sains dan sebagainya. Kerajaan telah bertanggungjawab kepada sistem persekolahan disebabkan masyarakat memerlukan tenaga pekerja yang berpelajaran.

Sekolah merupakan agen sosialisasi formal yang pertama untuk kanak-kanak dimana mereka sebagai seorang pelajar yang diharapkan dapat memenuhi objektif yang ditetapkan, mengikut peraturan dan tingkah laku seperti orang lain. Walaupun kurikulum formal di sekolah menekankan aspek perkembangan dan kemahuan berfikir, kehidupan informal di sekolah pula diperkukuhkan dengan nilai-nilai yang penting dalam masyarakat. Sekolah juga merupakan tempat untuk berkongsi ilmu yang tidak formal. Contohnya apabila kita duduk di kantin sekolah, tanpa sedar kita akan mendengar perbualan kanak-kanak yang berkisar pada topik televisyen, sukan,  lagu yang digemari, cara berpakaian dan sebagainya.

Sekolah menekankan budaya sosial yang penting, apa yang dinilai dan bersesuaian dengan masyarakatnya kepada pelajar-pelajarnya. Contohnya, kurikulum dan buku teks yang menekankan nilai-nilai budaya Melayu, Cina dan India yang melambangkan bahawa kita menyanjung tinggi budaya setiap kaum yang tinggal di Malaysia. Ini adalah salah satu tugas sekolah yang sangat penting sebagai agen sosialisasi.

Terdapat juga teori yang melihat sekolah sebagai agen sosialisasi yang memenuhi fungsi untuk mengajar kanak-kanak tentang nilai dan adat resam masyarakat. Selain itu juga ada pendapat mengatakan sekolah boleh menanam pelbagai aspek masyarakat terutama tentang kelas sosial.

Peranan sekolah adalah untuk mengajar dan mendidik kanak-kanak dalam pelbagai aspek sosialisasi kehidupan. Sebagai agen sosialisasi, sekolah bertangunggjawab mengajar secara formal kemahiran kognitif iaitu membaca, menulis, mengajar subjek-subjek tertentu seperti Matematik, Sains dan Sejarah. Dalam negara kita, Kementerian Pelajaran bertanggungjawab terhadap sistem persekolahan di mana tenaga pekerja dilatih untuk memegang jawatan sebagai guru dan pengetua. Maka sekolah merupakan agen formal sosialisasi kanak-kanak yang pertama.

3.1       SOSIALISASI MENURUT PERSPEKTIF  INTERAKSI KONFLIK DAN FUNGSIONALISME
3.1.1    Sosialisasi menurut perspektif interaksi
Hubungan dan interaksi sosial merupakan keperluan mendesak bagi manusia yang merupakan makhluk sosial. Ianya merupakan satu tindakan yang perlu dilakukan oleh setiap manusia. Ini kerana manusia tidak dapat hidup terasing dan bersendirian.

Interaksi sering kali dikaitkan dengan masyarakat yang diperkatakan sebagai istilah yang bersifat abstrak. Menurut G.H Mead (1863) dan C.H Cooley (1846), individu dan masyarakat melakukan interaksi dengan menggunakan isyarat, tanda-tanda, kata-kata bertulis dan lisan. Di mana setiap perkataan tidak akan membawa erti jika ia tidak difahami oleh individu. Sebagai contoh situasi yang dapat dilihat apabila lampu isyarat yang berwarna oren boleh disalah tafsirkan mengikut individu yang mengambil keputusan untuk menafsirkan sama ada warna oren melambangkan sama ada untuk bersedia berhenti ataupun menambahkan kelajuan kenderaan sebelum munculnya lampu yang berwarna merah. 

Namun begitu bagi H. Blumer (1962) interaksi antara manusia adalah melalui simbol-simbol tertentu dan memiliki konsep “kendiri” yang boleh menjadikan dirinya subjek atau objek tingkahlaku  dengan menggunakan bahasa yang berkaitan dengan faktor persekitaran. Sebagai contoh, melalui simbol juga individu dapat menafsirkan pelbagai tafsiran. Jika dilihat simbol gambar burung terbang, ianya boleh ditafsirkan pelbagai maksud seperti kebebasan, seekor burung yang sedang terbang, logo untuk Kesatuan NAM dan pelbagai lagi. Hal ini juga sering kali dikaitkan dengan pengetahuan dan keadaan persekitaran. 

Bernstein (1924) turut menyatakan bahawa komunikasi di dalam kumpulan masyarakat kini telah mempunyai kod-kod bahasa dalam proses sosialisasi yang terdiri daripada kod terhad dan kod luas di mana setiap kod mengandungi makna, simbol dan sistem perhubungan.  Kod terhad merupakan bahasa secara terus dari pertuturan manakala kod luas merupakan bahasa atau pertuturan yang lebih bebas dan bersifat universal. Sebagai contoh, penggunanan teori ini dapat dilihat dan dibandingkan dengan sejauhmana kelancaran dan kepetahan golongan pelajar yang mempunyai pendidikan yang tinggi jika ingin dibandingkan dengan golongan pelajar yang hanya mendapat pendedahan peringkat awal sahaja. Ianya dilihat dari segi idea dan lontaran bicara yang dikeluarkan oleh individu.

Sosialisasi melalui interaksi turut diterjemahkan dengan pelbagai andaian melalui kajian yang telah diperhatikan oleh B. Bernstein (1924), telah menyatakan bahawa sosialisasi interaksi boleh terbahagi kepada dua jenis iaitu solidariti organik (masyarakat moden) dan solidariti mekanik (masyarakat tradisional) yang wujud hasil daripada perbezaan sistem kelas pendidikan yang berbeza yang memiliki cara dan kaedah tersendiri dalam melahirkan kumpulan masyarakat yang berbeza dari sudut pandangan dan pegangan dalam budaya kehidupan.

Jika dilihat dari sudut interaksi di sekolah, ianya dikaitkan di antara hubungan guru dengan murid-murid yang mana setiap individu mempunyai unsur dan matlamat yang berbeza yang perlu dan ingin dicapai. David Hargreaves (1975) telah menyatakan bahawa pengetahuan individu tentang kendiri, persepsi dan peranan sebagai aspek penting dalam interaksionisme dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana setiap tindakan perlulah diambil kira pandangan sendiri dan juga pendapat orang lain. Misalnya penggunaan buku teks di dalam bilik darjah untuk  pembelajaran dan pengajaran atau hanya dijadikan sebagai hiasan yang terletak di dalam beg pelajar.

Selain itu, sosialisasi melalui interaksi juga turut berlaku di dalam persekitaran persekolahan di mana ia diambil kira dari aspek tugasan  dan peranan setiap individu yang berbeza yang mana ia sering kali dibincangkan oleh pelaku-pelaku sosial yang berada di dalam kawasan sekolah tersebut atau di persekitaran. Hal ini dapat dilihat dari aspek segala tindakan yang dibuat sama ada secara langsung atau tidak langsung akan memberi kesan kepada setiap individu persekitaran.

Sehubungan itu, Hargreaves turut berpendapat bahawa dalam melaksanakan interaksi yang berkesan, beliau telah memperkenalkan tiga konsep yang boleh dilakukan oleh guru sepanjang berinteraksi dengan pelajar iaitu konsep “penjinak singa”, “penghibur” dan “romantik” (Amir,2009). Melalui konsep tersebut ianya dapat menyelesaikan masalah yang dialami oleh setiap guru dalam menarik minat pelajar untuk fokus di dalam pembelajaran.

3.1.2   Bentuk Interaksi Sosialisasi

Interaksi sosial merupakan satu prilaku yang perlu dilakukan sama ada secara lisan, simbol, perlakuan, dan sebagainya. Ini kerana setiap tindakan dan bahasa yang digunakan merupakan lambang kehidupan seseorang. Interaksi sosialisasi boleh terbahagi kepada empat bahagian yang merupakan perbezaan prilakuan dan keberkesanan (Abd Razak,Rozita,Didin 2008).
1.      Bentuk interaksi yang pertama merupakan interaksi di antara individu dengan diri sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa setiap individu perlu berinteraksi dengan diri sendiri terlebih dahulu. Ia boleh dikatakan sebagai interaksi dalaman yang melibatkan hati dan tindakan fizikal. Sebagai contoh ketika ingin mengambil satu keputusan yang perlu diambil kira daripada kata hatinya sendiri tanpa melibatkan individu yang lain.
2.      Interaksi antara individu dengan individu merupakan bentuk yang melibatkan dua individu yang melibatkan interaksi yang dapat menghasilkan kesan. Hal ini sentiasa berlaku di dalam aspek berkawan di dalam melakukan aktiviti secara berteman. Sedikit sebanyak interaksi ini akan memberi kesan di dalam membuat tindakan yang bukan lagi keputusan individu
3.      Interaksi antara individu dengan kumpulan. Proses ini sering kali berlaku dalam situasi yang besar di dalam satu kumpulan. Sebagai contoh, interaksi ini akan berlaku dalam aktiviti yang melibatkan lebih dari dua orang di dalam membuat keputusan dan perbualan di mana setiap individu perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai ragam dan keadaaan yang ada di sekelilingnya.
4.      Interaksi kumpulan dengan kumpulan. Proses interaksi secara berkumpulan ini melibatkan satu keadaan yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, latar belakang pendidikan dan pelbagai lagi. Sebagai contoh apabila satu program atau majlis yang melibatkan banyak jabatan yang terlibat dalam menjayakan program tersebut seperti Majlis Pemimpin Bersama Rakyat. Di mana di dalam menjayakan mijlis ini, terdiri daripada kerjasama  banyak pihak seperti kementerian penerangan, jabatan kebajikan masyarakat, barisan pemimpin Negara, penduduk kawasan, pertubuhan bukan kerajaan dan ramai lagi.
3.1.2    Sosialisasi menurut perspektif konflik
Pandangan teori konflik ialah masyarakat berada di dalam keadaan berubah-ubah, berkonflik dan sentiasa ingin memperjuangkan kepentingan masing-masing. Konflik juga merupakan penyumbang kepada penyebab tahap perpaduan dalam sesebuah masyarakat menjadi rendah (Abd Razak,Rozita,Didin 2008). Hal ini disebabkan berlakunya pertentangan dan perbezaan pendapat antara dua orang atau lebih.

Kehidupan bermasyarakat juga akan mengalami konflik apabila terdapat individu yang tidak sefahaman disebabkan perbezaaan penguasaan dan kekayaan yang tidak seimbang. Pendekatan konflik juga sering kali dikaitkan dengan unsur-unsur: 
1.      Setiap masyarakat sentiasa mengalamai perubahan
2.      Setiap masyarakat tidak lepas daripada konflik
3.      Setiap aspek dalam masyarakat memainkan peranan terhadap perubahan sosial
4.      Setiap masyarakat akan dipengaruhi oleh dominasi golongan tertentu.

Fokus penelitian konflik amat berbeza dengan model keseimbangan. Di mana di dalam situasi konflik ini, golongan majoriti lebih menguasai kumpulan minoriti di dalam sesebuah masyarakat yang bersaing sehinggakan menyebabkan berlakunya pertentangan. Namun begitu terdapat ramai pengkaji mengatakan bahawa pendidikan sedikit sebanyak dapat mengawal dan mengatasi konflik dan melakukan penyerapan nilai-nilai di dalam struktur sosialisasi yang ingin diterapkan.

Bowles da Gintis telah melihat bahawa sistem pendidikan merupakan penyumbang kewujudan status sosial di dalam masyarakat iaitu :
1.      Kejayaan dalam bidang ekonomi kerana ketrampilan yang diperolehi daripada proses pendidikan
2.      Menyediakan jalan kepada pelajar untuk menentukan kedudukan kelas mereka dalam masyarakat selepas era persekolahan.

Hal ini dapat dilihat dari sudut pengkategorian pelajar melalui penyerapan kefahaman dan ilmuan mengikut konsepsi diri, cita-cita dengan tuntutan pembahagian kerja dalam masyarakat. Ia telah dibahagikan kepada berbagai-bagai bidang yang mempunyai penilaian tersendiri yang menghasilkan ganjaran yang berbeza ke arah jurusan pekerjaan pada masa akan datang. Pendekatan yang diambil sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada konflik yang telah berlaku apabila kurikulum sekolah lebih menekankan bidang yang abstrak jika dibandingkan dengan bidang yang bersifat penilaian kumpulan.

Kesan daripada pendekatan tersebut, ia akan menghasilkan golongan individu yang hanya menumpukan sepenuhnya kepada tugasan semata-mata. Hal ini akan mengakibatkan berlakunya pembelajaran di sekolah tidak lagi dilakukan secara berkumpulan. Apabila hal ini berlaku, ia akan mengakibatkan wujudnya golongan masyarakat yang tidak seimbang apabila golongan minoriti lebih berkuasa jika dibandingankan dengan golongan majoriti yang tidak mempunyai penguasaan pendidikan yang seimbang.

Kesan ketidakseimbangan ini akan berlaku dengan mewarisi daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Jika dilihat konflik ini turut dirasai oleh golongan guru yang dikatakan sebagai generasi dewasa yang akan menyampaikan segala ilmu kepada pelajar yang mempunyai pelbagai karenah dan latar belakang yang berbeza. Hal ini dapat dilihat apabila peranan guru bukan sahaja menjadi penyampai dan pemberi ilmu, namun golongan ini juga berperanan sebagai pengamal “displin” dan “instruktor” yang mana menyelaras segala aktiviti dalam bilik darjah, membahagikan kumpulan murid, mengawasi pergerakan dalam bilik darjah dan menguatkuasakan peraturan-peratuaran sekolah. Bernstein juga mengatakan bahawa golongan guru hanya memiliki autonomi yang kecil dan terhad dalam bilik darjah dan persekolahan. Ini  menyebabkan kekuasan guru untuk merubah seseorang individu adalah terhad.

Oleh itu, untuk memantapkan kawalan masyarakat yang bermutu tinggi, ia seharusnya melibatkan setiap golongan masyarakat di dalam sesebuah negara untuk menghasilkan bakal-bakal tenaga kerja masa hadapan.

3.1.3      Sosialisasi menurut perspektif fungsionalisme

Teori fungsionalis pula mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam aktiviti yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Berdasarkan kepada isu kelemahan akademik dan prestasi pelajar, teori fungsionalis didapati lebih menonjol peranannya. Merton (1968) menyokong teori ini dengan membahagikan kepada dua elemen iaitu fungsi nyata dan fungsi tidak nyata. Fungsi nyata merujuk kepada aktiviti yang ditetapkan seperti pengajaran guru sementara fungsi tidak nyata ialah aktiviti-aktiviti yang tersirat seperti kurikulum tersembunyi.

Kajian berkenaan sosialisme mengikut aliran fungsionalisme adalah berasaskan pandangan tokoh-tokoh awal seperti Comte, Spencer dan Durkheim dan kemudian diikuti oleh tokoh-tokoh seperti Talcott Parsons dan Robert K. Merton. Teori fungsionalisme mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam aktiviti yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Ia menekankan bahawa proses sosialisasi akan menyesuaikan individu ke dalam masyarakat (Amir Hassan Dawi, 2009). Individu yang menyertai kelompok masyarakat sekitarnya pula diharapkan dapat mengekalkan keseimbangan nilai-nilai yang ada, justeru mengekalkan status quo masyarakat. Sebagai contoh, seorang bayi sebagai anggota baru masyarakat Melayu akan dididik dengan norma atau amalan kebiasaan sesuatu masyarakat Melayu seperti bersopan santun dengan orang yang lebih tua, elok tutur bicara dan sebagainya.

Ahli-ahli fungsionalisme mengandaikan bahawa dalam menentukan kelancaran proses sosialisasi dalam masyarakat, tiga andaian dikemukakan iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi (Brinkerhoff dan White, 1989). Stabiliti akan menentukan sejauh mana struktur atau nilai dan budaya sesebuah masyarakat mampu dikekalkan. Harmoni pula menunjukkan bagaimana setiap bahagian dalam masyarakat menjalankan peranan masing-masing dan bekerjasama antara satu sama lain untuk mencapai tujuan mengekalkan struktur masyarakat tersebut. Evolusi pula merujuk kepada perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui pengadaptasian struktur sosial kepada pembaharuan (Amir Hassan Dawi, 2009). Jika salah satu dari ketiga-tiga andaian ini tidak dipenuhi, maka proses sosialisasi dalam masyarakat akan tergugat dan boleh mencetus ketidakstabilan gaya hidup dalam sesebuah masyarakat. Contoh paling mudah boleh diperhatikan melalui perubahan gaya hidup orang Melayu yang penuh dengan adat dan nilai ketimuran suatu masa dahulu, tetapi disebabkan perubahan-perubahan yang dibawa oleh unsur-unsur luar seperti dari Barat misalnya, telah merubah struktur sosial masyarakat Melayu hari ini. Juga, masyarakat Cina yang tinggal di Amerika tidak sama personaliti dan nilai yang diamalkan oleh mereka berbanding dengan masyarakat Cina yang berasal dari Tanah Besar China itu sendiri.

Menurut Dave Hill dan Mike Cole (2001), sosialisasi dalam pendidikan kebiasaannya dikaitkan dengan teori Parsons (1960) dan Davis dan Moore (1967). Mereka melihat bahawa peranan utama sekolah atau institusi pendidikan adalah untuk menyesuaikan individu dengan nilai, norma dan budaya masyarakat yang wujud pada masa tersebut. Dreeben (1968) dalam menganalisis teori Parson berkaitan fungsionalisme dalam sekolah, cuba untuk menerangkan secara terperinci bagaimana institusi sekolah memasyarakatkan pelajar, atau dalam erti kata lain bagaimana pelajar mempelajari norma atau nilai sesebuah masyarakat. Kurikulum yang diajar di sekolah bukan sekadar pengetahuan kognitif bersifat ekplisit, tetapi merangkumi nilai-nilai moral yang diajar secara tersirat yang tidak diajar secara formal mengikut silibus yang telah disediakan. Nilai-nilai tersebut mungkin dipelajari melalui hubungan sosial antara guru dan pelajar, peraturan-peraturan yang ditetapkan di sekolah atau amalan-amalan kebiasaan yang dipraktikkan di sekolah, seperti pemberian ganjaran terhadap perkara-perkara baik yang dilakukan dan sebagainya (Philip Wexler, 2009).

Menurut Ishak Ramly (2005), pemasyarakatan atau sosialiasi adalah proses kanak-kanak diajar dengan nilai sosial yang baik dan sempurna seperti penerapan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia pada semua kanak-kanak sekolah. Ini dilakukan secara formal dan terancang melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Tumpuan turut diberi pada pengekalan perpaduan dan kerjasama antara anggota masyarakat di mana kanak-kanak yang berada di sekolah belajar tanpa mengira kaum, kekayaan dan keturunan. Kanak-kanak ini mengikut agama, kegiatan kokurikulum dan sistem persekolahan yang sama dan setiap orang berpeluang mencari dan mendapatkan ilmu secara bebas dan terbuka. Mereka turut didedahkan dengan mata pelajaran sivik, ketatanegaraan dan disiplin, kegiatan kokurikulum dan lain-lain yang bertujuan membiasakan pelajar supaya dapat memahami dan menghayatinya. Apabila mereka keluar dari alam persekolahan dan masuk ke sistem masyarakat yang lebih terbuka, mereka boleh menyesuaikan diri dengan norma-norma hidup yang ditetapkan oleh masyarakat. (Ishak Ramly, 2005).

Sesuai dengan kajian yang dibentangkan, aliran fungsionalisme sangat mementingkan peranan sekolah sebagai institusi utama untuk menerapkan nilai sosial sesebuah masyarakat ke dalam individu-individu baru, iaitu merujuk kepada murid-murid yang baru memulakan alam persekolahan. Penerapan struktur sosial tersebut perlu dilakukan secara terancang, berdasarkan kurikulum formal, terpendam dan tidak formal supaya proses sosialisasi dalam masyarakat berlaku dengan seimbang dan lancar. Namun, proses sosialisasi di sekolah bukan semata-mata satu proses yang mudah, ianya dipenuhi dengan pelbagai cabaran seperti masalah disiplin murid, komitmen ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak, faktor guru-guru dan persekitaran di sekolah. Cabaran ini, menurut aliran fungsionalisme, walau bagaimanapun bukanlah menjadi faktor kelemahan proses sosialisasi di sekolah. Kegagalan seseorang individu, sama ada dalam prestasi akademik atau tingkah laku jenayah boleh dikaitkan dengan kekurangan personaliti individu itu sendiri yang boleh disebabkan oleh kurangnya daya pemikiran atau usaha untuk memperbaiki kekurangan diri.

Menurut Amir Hassan Dawi (2009), peranan sekolah sebagai agen sosialisasi mutakhir ini menjadi semakin penting semenjak bermulanya zaman moden disebabkan oleh sekurang-kurangnya dua sebab utama. Pertama, keluarga sebagai agen sosialisasi yang penting pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak semakin kurang memainkan peranan mendidik anak-anak. Ia boleh disebabkan tekanan hidup berpunca daripada kos sara hidup yang kian meningkat, tuntutan kerjaya yang memerlukan komitmen tinggi dan semakin kurangnya kesedaran di kalangan segelintir ibu bapa untuk memberi perhatian dan bimbingan khusus terhadap perkembangan sosial anak-anak mereka.

Beliau turut menambah sebab kedua iaitu struktur ilmu pengetahuan telah berkembang pesat dan sangat kompleks menyebabkan ramai ibu bapa yang lebih yakin untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk belajar berbanding mereka sendiri yang mengajarkan ilmu-ilmu tersebut di rumah. Malah, sekolah juga telah menjadi pusat kepada agen-agen sosialisasi utama yang lain seperti guru dan rakan sebaya, justeru tidak hairan jika ada pihak yang mengatakan bahawa sekolah telah menjadi agen sosialisasi yang sangat berkuasa.

Justeru, aliran fungsionalisme menyarankan bahawa sekolah memainkan peranan yang sangat besar dalam pembentukan moral, disiplin diri dan personaliti yang baik serta nilai-nilai murni untuk menjaga kelangsungan hidup sesebuah masyarakat. Dalam perkembangan dunia moden, sekolah amnya, dan para guru khususnya, berdepan cabaran yang hebat untuk mengekalkan keseimbangan nilai sosial yang baik dalam sesebuah masyarakat agar nilai ketamadunan masyarakat tersebut tidak runtuh seperti yang tercatat dalam sejarah ketamadunan manusia zaman dahulu.

4.1       PERANAN GURU SEBAGAI AGEN SOSIALISASI


4.1.1    Peranan Guru Terhadap Institusi Pendidikan

Sosialisasi merupakan proses bergaul dan bermesra antara satu sama lain. Sosialisasi memberi pengaruh yang kuat ke arah sahsiah  dan secara tidak langsung ia mempengaruhi cara pergaulan, sikap dan minat kita secara umumnya.
Dalam sosiologi pihak-pihak yang melaksanakan sosialisasi disebut sebagai agen atau media sosialisasi. Fuller dan Jacobs membahagikan empat agen sosialisasi utama iaitu pihak-pihak yang melaksanakan proses sosiologi utama. Keempat- empat agen atau media sosialisasi tersebut adalah keluarga, rakan sebaya, sekolah dan media massa.
Sekolah merupakan salah satu agen sosialisasi yang paling berpengaruh. Menurut Dreeben, dalam institusi pendidikan  seseorang pelajar belajar membaca, menulis, dan mengira.  Apabila di rumah seorang anak mengharapkan bantuan dari orang tuanya dalam melaksanakan pelbagai pekerjaan, tetapi di sekolah sebagian besar tugas sekolah harus dilakukan sendiri dengan penuh rasa tanggung jawab.

Di sekolah, mereka belajar tentang perspektif yang lebih luas tentang segala hal yang membantu mereka untuk menjalankan peranan yang ada di luar keluarga seperti patriotisme, kebaikan, demokrasi, kejujuran yang diterapkan dalam pelajaran. Ini menunjukkan peranan guru sebagai agen sosialisasi begitu penting dalam kehidupan pelajar. Guru berupaya menggalakkan pergaulan yang mesra dalam kalangan pelajarnya. Ini dapat dilakukan melalui aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerja kumpulan yang diadakan akan menggalakkan interaksi antara pelajarnya. Sebaliknya, jika guru menganjurkan kerja kumpulan, peluang untuk bersosialisasi akan berkurangan sesama pelajar.

Peranan guru seterusnya ialah menekankan aspek komunikasi dua hala. Guru perlu  mempunyai kemahiran dan dinamika untuk mengendalikan kumpulan-kumpulan dalam bilik darjah. Ini kerana guru yang menekankan aspek ini akan mendorong pelajar – pelajar untuk menyoal dan menjawab soalan dan dengan itu dapat membantu pelajarnya mengembangkan perhubungan yang sihat yang akan membaiki sikap terhadap sekolah dan pembelajarannya. Jika guru itu memilih untuk menyampaikan maklumat sahaja, maka kemahiran berkomunikasi tidak dikembangkan. Kemahiran berkomunikasi adalah penting untuk sosialisasi.

Guru juga bertanggungjawab memupuk nilai-nilai murni seperti belas- kasihan, bertolak ansur, bertimbang rasa dan bekerjasama. Pelajar yang muda amat memerlukan keperluan-keperluan psikologi tersebut dan ini dapat dipenuhi oleh seorang guru yang baik hati serta ada perasaan belas kasihan. Kesemua nilai ini amat dihargai dalam sosialisasi. Dengan adanya penekanan nilai-nilai tersebut, suasana yang kondusif telah wujud untuk sosialisasi.

Selain itu, guru perlu mengendalikan projek gotong- royong untuk membersihkan kawasan sekolah, balai raya, pusat warga tua, rumah anak yatim dan sebagainya. Usaha seperti ini akan menyediakan peluang untuk pelajar berinteraksi sesama mereka atau dengan penghuni-penghuni di pusat-pusat tersebut. Ini juga merupakan peluang untuk pelajar bersosialisasi.

Tingkah laku guru merupakan salah satu pengaruh sosialisasi dalam kalangan pelajarnya. Ini kerana guru berdiri di hadapan beratus-ratus orang pelajar. Segala percakapan, tindakan dan tingkah laku guru diperhatikan dengan rapi oleh para pelajar. Ini membawa implikasi bahawa perwatakan guru sering diteliti oleh pelajar. Lantaran itu, guru hendaklah memainkan peranan sebagai contoh teladan atau role model kepada pelajar-pelajarnya. Sekiranya guru itu memiliki sahsiah yang mesra dan sentiasa menyapa pelajar- pelajar dengan baik, maka pelajar itu juga berasa lebih selesa. Sahsiah guru itu akan dicontohi oleh para pelajarnya. Justeru, pelajar akan membesar menjadi individu yang lebih peramah, mesra dan mudah untuk berdampingan dengan orang lain.

4.1.2    Guru Sebagai Penggerak Masyarakat (Innovator)
Seseorang guru juga berperanan sebagai innovator selain dari mengajar. Guru merupakan orang yang mendatangkan pelbagai pembaharuan dalam sesebuah masyarakat. Sesebuah masyarakat yang maju terdiri daripada masyarakat tradisional yang bergantung pada pertanian berubah kepada masyarakat yang berasaskan perindustrian adalah disebabkan oleh kemajuan teknologi dalam bidang sains dan teknologi. Usaha untuk melahirkan ahli sains dan jurutera adalah bergantung kepada guru. Ini menunjukkan betapa pentingnya peranan guru dalam melahirkan serta menjana ekonomi negara.

Guru merupakan agen pembaharuan. Guru yang inovatif sentiasa memperkenalkan dan mencuba sesuatu yang baharu dalam pengajarannya. Antara usaha yang dilakukan ialah mencuba strategi pengajaran serta sumber- sumber pengajaran dan pembelajaran yang baharu. Guru seperti ini sentiasa berminat untuk menghadiri pelbagai program, kursus, bengkel, seminar dan forum untuk memperkenalkan idea-idea yang baharu ke dalam bilik darjahnya untuk diaplikasi serta meningkatkan mutu pengajaran serta keberkesanan pembelajaran pelajarnya.

Selain itu, guru-guru yang inovatif banyak menyumbangkan idea-idea yang baharu dalam penggubalan kurikulum-kurikulum seperti KBSR dan KBSM. Mereka mahukan aktiviti-aktiviti pelajar ditekankan. Oleh itu, KBSR adalah memusatkan pelajar jika dibandingkan dengan KBSL yang lebih memusatkan guru. Oleh itu, pembelajaran akan lebih menarik dan berkesan.

Oleh itu, guru sebagai innovator akan melengkapi para pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran yang baharu untuk diterapkan kepada murid serta menjadi penggerak kepada masyarakat dan negara amnya.



4.1.3    Guru Sebagai Pembina Negara
Pemupukan nilai-nilai dan sikap kenegaraan adalah tugas setiap guru yang memahami dan menghayati aspirasi dan hasrat negara yang berlandaskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Guru hendaklah sentiasa mewujudkan suasana pembelajaran yang berkesan bagi pelajar mengembangkan pengetahuan, kemahiran fizikal serta memupuk semangat kenegaraan. Pembinaan dan pemupukan semangat kenegaraan di sekolah merupakan usaha tanggungjawab bersama. Semangat bekerjasama dan sikap sedia memberi dan menerima dalam kalangan guru akan dapat melahirkan individu-individu yang mencintai serta bangga terhadap bangsa dan negara.

Kegiatan kokurikulum dalam bentuk pasukan unit berpakaian seragam, kelab, dan sukan boleh memupuk nilai-nilai kenegaraan. Apabila pelajar-pelajar berinteraksi antara satu sama lain, semangat kekeluargaan dan perpaduan dapat disemai dan dipupuk.

Begitu juga aktiviti permainan dan sukan dapat menyihatkan tubuh badan dan fikiran serta memupuk kestabilan emosi. Selain itu, permainan dan sukan dapat memenuhi perkara-perkara seperti menggalakkan interaksi dan sosialisasi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Permainan ini melatih pelajar patuh kepada peraturan-peraturan dan memupuk sifat adil, timbang rasa dan toleransi. Semangat bekerjasama harus dipupuk kepada persaingan dan bersedia menerima kekalahan. Dengan itu, seseorang dapat meningkatkan kemahiran, kestabilan, kematangan emosi, dan cara bergaul dan seterusnya semangat identiti ini dapat dipupuk dalam pasukan sekolah  dan negara sendiri.

Manakala pasukan unit berpakaian seragam dan kelab dapat memupuk minat dan dedikasi serta berkhidmat untuk masyarakat. Kegiatan-kegiatan tersebut membolehkan pelajar menyemai semangat setiakawan, kekitaan, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan ahli seperti mengenali masyarakat melalui aktiviti-aktiviti seperti gotong – royong, khemah kerja dan lawatan. Selain itu, sifat mematuhi kepada ketua dan memupuk nilai bertanggungjawab  merupakan tanggungjawab terhadap kewajipan diri,  bangsa dan juga negara.

Dengan itu,  peranan guru sebagai pembina negara adalah amat penting sekali. Mereka ini akan menjadi aset yang dapat memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat, agama dan negara.

4.1.4    Guru Sebagai Penyebar Ilmu
 Ilmu bermaksud cara memperoleh dan mengendalikan maklumat dan pengalaman. Guru sebagai penyebar ilmu akan menitikberatkan aspek budaya ilmu di sekolah. Budaya ilmu itu merangkumi kegiatan-kegiatan seperti membaca, berfikir, berkarya, bermesyuwarah dan menjalankan refleksi.

Guru akan sering menekankan budaya membaca dalam kalangan pelajarnya. Pelajar akan memperolehi pelbagai jenis pengetahuan tentang agama, falsafah, sains, matematik, sastera, teknologi maklumat, nilai- nilai murni dan bahasa melalui bacaan.

Ilmu tentang pemikiran seharusnya disebar dan dipupuk dalam kalangan pelajar. Dalam pengajaran guru, pelajar-pelajar tidak akan menerima sahaja fakta-fakta yang disampaikan. Sebaliknya, mereka hendaklah digalakkan untuk bertanya dan bertukar-tukar pendapat dengan guru. Pelajar pula sepatutnya menyoal sekiranya kurang memahami suatu konsep yang disampaikan oleh guru. Dalam keadaan ini, adalah nyata  guru telah cuba memupuk budaya berfikir dalam kalangan pelajarnya.

Ilmu berfikir terdiri daripada pelbagai jenis. Contohnya pemikiran konvergen, pemikiran  divergen, induktif, deduktif, kreatif, membina, kritis, lateral dan menegak. Dalam bidang ICT, guru akan mengajar pelajar pelbagai program komputer yang dikatakan menyampaikan ilmu. Selain itu, pelajar-pelajar diajar melayari beberapa laman web untuk mendapatkan maklumat tambahan tentang apa yang telah dipelajari dalam bilik darjah.

Guru yang mengajar pelajar-pelajar mengarang berbagai-bagai cerpen, puisi, cerpen, syair, artikel, telah cuba menyampaikan ilmu berkarya. Para guru akan memilih hasil karya yang baik untuk dihantar ke beberapa majalah terkemuka. Dorongan seperti ini akan memupuk lagi semangat pelajar untuk berkarya.

Selain itu, melalui amalan bermusyawarah, seseorang guru dapat menyebarkan ilmu kepada individu-individu lain. Seterusnya ahli-ahli lain yang akan mendapat manfaat daripada idea-idea yang tercetus itu. Bermusyawarah  merupakan salah satu cara bagaimana guru dapat menyebarkan ilmu.

Kempen yang dijalankan oleh guru di sekolah juga merupakan cara guru menyebarkan ilmu. Beberapa jenis kempen yang lazim di jalankan di sekolah terdiri daripada kempen menggunakan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, sopan-santun, antidadah, dan antimerokok. Kesemuanya menyebarkan ilmu tentang tema yang ditekankan. Hasil daripada kempen-kempen itu, para pelajar akan dapat memperoleh kesedaran tentang pentingnya Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris selain kebersihan, sopan santun, antidadah dan antimerokok. Kesemuanya menyebarkan ilmu tentang tema yang ditekankan. Hasil daripada kempen-kempen itu, para pelajar akan dapat memperoleh kesedaran tentang pentingnya Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, dan kebersihan diri sendiri. Selain itu, mereka juga dapat membentuk sikap benci dadah dan amalan merokok. Manakala dari segi moral, pelajar-pelajar akan berakhlak mulia hasil dari ilmu yang disebarkan oleh gurunya.

5.1       KESIMPULAN
Fungsi utama sekolah  ialah untuk memberi pendidikan dan latihan. Pendidikan dianggap sebagai proses membentuk seorang manusia yang sanggup berfikir kritis dan mempunyai daya kreatif. Latihan pula bertujuan memberi kemahiran teknikal dan kegiatan psikomotor. Oleh itu, peranan sekolah ialah untuk memberi peluang kepada generasi muda untuk menguasai berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan sesuai untuk menyesuaikan diri dalam perkembangan masyarakat dan kehidupan harian.

Sekolah sebagai satu institusi masyarakat juga mementingkan perkembangan dan perubahan tingkah laku murid-murid mengikut nilai, norma dan kehendak masyarakat. Justeru, persekolahan yang berorganisai itu memainkan peranan dalam mengekalkan corak kehidupan dan kebudayaan yang dianggap baik dalam. Sehubungan itu, guru bukan hanya menyampaikan ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi juga menanam sikap, nilai dan sahsiah yang sempurna dan mematuhi peraturan masyarakat. Guru juga memainkan peranan sebagai agen sosialisasi dengan membawa perkembangan kualiti social mengikut arus perkembangan masa kini.
Kesemua jenis  ilmu sama ada akademik ataupun kerohanian, emosi dan jasmani dapat memanfaatkan pelajar-pelajarnya. Setiap pelajar yang membesar dan memegang jawatan yang penting  dalan sektor awam dan swasta akan terkenang kepada guru kerana peranannya sebagai penyebar ilmu. Guru merupakan agen sosialisasi yang penting yang perlu memastikan kelangsungan proses sosialisasi pelajar-pelajar di sekolah adalah mengikut acuan nilai, budaya dan aspirasi masyarakat kita.

Tingkah laku guru sendiri akan mempengaruhi kadar sosialisai dalam kalangan pelajarnya. Sekiranya guru itu memiliki sahsiah yang mesra dan sentiasa menyapa pelajar-pelajar dengan baik, maka pelajar itu juga berasa lebih selesa. Sahsiah guru itu akan dicontohi oleh pelajar-pelajarnya. Lantaran itu, pelajar-pelajar akan membesar menjadi individu yang lebih peramah dan mesra. Individu seperti ini mudah berdamping dengan orang lain.
Justeru, peranan guru sebagai agen sosialisasi merupakan peranan yang penting. Dalam usaha kea rah mewujudkan sebuah masyarakat penyayang dan ikram gurulah yang akan membentuk anggota-anggota masyarakat yang memiliki sifat-sifat yang dihasratkan.









BIBLIOGRAFI

Achmad Hufad (2007). Teori Sosiologi Pendidikan. Ilmu dan Aplikasi Pendidikan, Bagian 1: Ilmu Pendidikan Teoretis. PT.IMTIMA, ms 242
Amir Hasan Dawi (2009). Sekolah Dan Masyarakat. Tanjong Malim: Quantum Books
Dave Hill, Mike Cole (2001), Schooling and Equality: Fact, Concept and Policy. USA: Routledge.
Ee Ah Meng. (2003). Pendidikan Di Malaysia (Semester V). Selangor : Penerbit Fajar Bakti Sdn.  Bhd.
Ee Ah Meng.(2003), Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, Ilmu Pendidikan Pengetahuan dan Ketrampilan Ikhtisas (Semester II), Fajar Bakti Sdn. Bhd. Selangor Darul Ehsan.
Ibrahim Mamat. (1993). Kepimpinan Sekolah. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.
Ishak Ramly (2005), Inilah Kurikulum Sekolah. PTS Professional.
Mohd Salleh Lebar (2002). Perancangan Pendidikan Peringkat  Sekolahdan IPT. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2003). Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang (2008). Insak (Inventori Sahsiah Keguruan) & Temuduga, Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd., Selangor
Nik Aziz Nik Pa, Noraini Idris (2008). Perjuangan Memperkasakan Pendidikan di Malaysia, Pengalaman 50 Tahun Merdeka, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Philip Wexler (2009), Social Theory in Education. NY: Peter Lang Primer.
Prof. Atan Long (1983). Fikiran-Fikiran Tentang Pendidikan Di Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


No comments:

Post a Comment